Pensyarah simpati dengan Dr Kamarul Zaman, dakwa kehadiran Tun M diketahui penganjur

Pensyarah Universiti Teknologi Petronas Dr Muhaimin Sulam yakin kehadiran Tun Mahathir Mohamad dalam wacana membicarakan tentang dirinya di Shah Alam semalam diketahui penganjur.
Dr Muhaimin yang juga naib pengerusi AMANAH Perak berkata, ada beberapa petunjuk membuktikan kehadiran pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu telah diketahui lebih awal oleh pihak penganjur, akhbar Sinar Harian.

Beliau juga bersimpati dengan panelis forum, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang dikenali amat kritikal dengan PH termasuk Tun Mahathir kerana nyata kurang selesa dengan kehadiran bekas perdana menteri itu.
“Walaupun saya banyak tidak sependapat dengan Dr Kamarul Yusoff dalam banyak perkara khususnya politik, saya sempati nasib beliau petang ini (semalam) ‘dimainkan’ oleh pihak penganjur.
“Beliau semacam dijadikan ahli gusti WWF yang dijadikan badut untuk dimalukan,” tulisnya di laman facebook.
Menurut Dr Muhaimin kedatangan Tun Mahathir bagaikan sudah diketahui awal oleh pihak penganjur ataupun moderator Nazri Kahar dari Astro Awani apabila beliau dua kali menyatakan betapa ‘tidak adil’nya membincangkan tuan badan yang tidak hadir dalam forum itu.
“Tambahan pula penganjur awal-awal mengosongkan dua kerusi depan bagi memberi ruang Tun M dan isterinya duduk. Ini satu perancangan yang tidak kemas, mudah dihidu. Saya mungkin berprasangka saja,” ujar Dr Muhaimin.
Menurutnya, kemunculan Tun M telah mengubah seluruh mood dan pendekatan program wacana tersebut dengan fokus hadirin lebih kepada tokoh negara itu.
“Ternyata politik media yang dimainkan oleh Sinar Harian adalah sesuatu yang mengejutkan tetapi ia suatu yang tidak wajar. Jumlah pelawat rancangan itu melonjak jauh naik. Ranking tinggi.
“Jari jemari Dr Kamalurzaman pun sempat bermain-main dengan telefon pintarnya. Bahasa tubuh beliau jelas protes dan bengang,” tulis Dr Muhaimin.
Menurut beliau, ‘agenda setting’ Sinar Harian seperti sedang membentuk persepsi bahawa Tun Mahathir sebagai PM Malaysia selepas PRU14.
Semalam Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan apabila hadir pada program Wacana Sinar Harian ke-53 yang berlangsung di Dewan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf).
Beliau tiba di lobi Karangkraf sekitar jam 4 petang ketika program bertajuk, ‘Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?’ sedang berlangsung.
Kehadiran bekas perdana menteri itu disambut dengan meriah oleh penyokong beliau yang hadir sama bagi mengikuti program wacana tersebut.
Tun Mahathir yang berpakaian lengkap serba kelabu turut ditemani isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.
Selain Dr Kamarul Zaman selaku Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), wacana itu turut menampilkan pakar psikologi Prof Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Comments

Popular posts from this blog

CEO Karangkraf nafi keluar kenyataan isu Dr KY

Sidang DUN ‘satu hari sahaja’, nak tambah bajet pula?

Dr. Mahathir dicabar berhujah dengan Dr. Kamarul Zaman