Mahfuz ibarat si Tanggang

SHAH ALAM - Tuduhan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengatakan pendekatan Pas dan Umno kini sama kerana menggunakan sentimen DAP bagi menakut-nakutkan orang Melayu yang menyokong Pakatan Harapan (Harapan) diibaratkan sebagai satu cubaan membunuh inti pati perjuangan parti Islam itu.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, pengamatan Mahfuz bukan saja tidak tepat, malah ia dilihat cubaan menakutkan jentera Pas, sekali gus membuktikan Mahfuz kini sama seperti si Tanggang yang derhaka dan sanggup berjinak-jinak dengan parti lawan, DAP semata-mata mahu memusnahkan imej Pas.
Beliau berkata, Mahfuz seolah-olah sudah lupa diri dan menafikan beliau selama ini banyak bergantung harap dengan Pas untuk politik dirinya.

Menurutnya, Pas bukan saja menyediakan platform dan jentera, malah Mahfuz antara anak didik Pas yang tersohor, akhirnya menjadi si 'Tanggang politik' yang biadab pada bekas parti yang mendidiknya.
"Pas jika mendedahkan kepincangan yang ada dalam DAP, ia adalah hasil pengamatan Pas sendiri atau hasil penelitian pemimpin parti itu.
"Soalnya bukan kenapa Pas menghentam DAP tetapi kenapa Mahfuz sanggup menjadi seperti si Tanggang dan derhaka kepada parti yang selama ini dia kasih dan sayang?
"Hati Mahfuz seolah sama dengan hati dan tingkah laku watak si Tanggang apabila sudah mendapat 'tuan' yang lebih hebat, maka ditinggalkan segala kasih dan sayang pada ibunya sendiri yakni Pas.
"Inilah watak yang sering diperingatkan kepada orang ramai, kesan negatif apabila ramai ahli politik menjadi si Tanggang setelah dibantu dan disokong," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Mahfuz mendakwa, Pas menggunakan pendekatan sama menakutkan orang Melayu Islam menyokong Harapan dengan memangsakan DAP serta menyatakan PKR, Bersatu dan Amanah sebagai pencacai.
Katanya, itu suatu yang cukup pelik menunjukkan Pas dan Umno sekata dalam usaha menangani penyokong Melayu Islam Harapan dalam menghadapi PRU14.
Dalam pada itu, Md Shukri berkata, Pas menerima kesan besar hasil dari tahaluf siyasi yang tidak menjadi dan akhirnya, kesan buruk sahaja yang diterima sehingga mewujudkan ramai si Tanggang politik yang kembali cuba membunuh Pas.
"Penyokong dan pemimpin akar umbi Pas tidak perlu meragui apa yang dilakukan kepimpinan Pas masa kini, kerana ia adalah untuk kebaikan parti itu sendiri," katanya.
"Menentang DAP dan memaklumkan apa yang dilakukan DAP terhadap Pas dan perjuangan Islam adalah satu perkara yang Islamik dan tidak sesekali bersifat cubaan menakutkan pengundi, tetapi ia adalah satu dakwah yang harus dilaksanakan," katanya.

sumber: http://www.sinarharian.com.my/politik/mahfuz-ibarat-si-tanggang-1.814353

Comments

Popular posts from this blog

CEO Karangkraf nafi keluar kenyataan isu Dr KY

Sidang DUN ‘satu hari sahaja’, nak tambah bajet pula?

Dr. Mahathir dicabar berhujah dengan Dr. Kamarul Zaman