Tindakan Dr. Kamarul dipertahankan
Hujah bernas mengenai usia Dr.Mahathir
KUALA LUMPUR 23 Mac- Hujah Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusof mengenai faktor usia calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sebuah forum semalam merupakan idea dan pandangan bernas sebagai seorang ahli akademik.
KAMARUL ZAMAN YUSOF
|
Malah kenyataan Kamarul Zaman mengenai kekangan usia Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh itu turut dipertahankan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali yang melihat kecaman dilemparkan terhadap pensyarah itu hanya disebabkan ‘khayalan’ pengguna media sosial.
Katanya, ia sebaliknya perlu dinilai menerusi sudut pandangan akademik dan bukannya menerusi emosi semata-mata.
“Hujahan yang beliau tampilkan dalam forum semalam sangat bernas dan akademik. Kepetahannya berbicara tidaklah sehebat sebahagian penceramah lain tetapi idea dan pandangannya bagus sepertimana ditampilkan menerusi banyak tulisan beliau.
“Beliau dilatih dengan kemahiran hujah akademik. Ada juga sebahagian penceramah yang dilihat hebat berbicara tetapi tidak mempunyai isi yang padat dan bernas,” katanya menerusi laman Facebook miliknya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khairuddin turut menafikan dakwaan mengatakan Kamarul Zaman sebagai ‘terkucil’ sebaliknya sikap pengguna media sosial tidak pandai menilai hujah menerusi aspek akademik menjadi punca kecaman diberikan terhadapnya.
“Kalau dikatakan beliau “terkucil” akibat kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam forum itu, saya rasa ia hanyalah khayalan sebahagian warga maya yang menyerang menerusi siber bukan keprihatinan mereka menilai secara akademik,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Comments
Post a Comment